Kerjaya Penyelia Keselamatan Tapak Bina (SSS)

Kerjaya Penyelia Keselamatan Tapak Bina (SSS)

Keselamatan dan kesihatan pekerjaan ditempat kerja adalah suatu perkara yang terlalu penting untuk diambilkira, ianya untuk penjagaan keselamatan, kesihatan dan kebajikan orang yang diambil bekerja. Secara ringkasnya, KKP boleh mempengaruhi cara kerja pekerja, keselamatan harta benda dan alam sekitar.

Setiap pekerjaan mempunyai cabaran dan dugaan yang berlainan. Tidak wajar juga untuk kita mengatakan bekerja sebagai tukang sapu itu tidak mencabar dan tidak memberikan sebarang tekanan “stress”. Begitu juga bekerja sebagai seorang Site Safety Supervisor (SSS) sememangnya satu kerjaya yang bakal menguji minda dan mental anda.


APA ITU SITE SAFETY SUPERVISOR

Pernahkah anda mendengar tentang Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP/DOSH)? Orang lebih mengenali Jabatan ini dengan DOSH ! Jabatan ini lah yang bertanggungjawab dalam isu-isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja di Malaysia. Dibawah Peraturan 25, Peraturan-Peraturan Kilag Dan Jentera (Kendalian Bangunan dan Kerja-Kerja Binaan Kejuruteraan (Keselamatan) 1986, kontraktor utama perlu melantik Penyelia Keselamatan Tapak Bina.

Tujuan perlantikan ini adalah untuk membantu kontraktor utama memenuhi kehendak yang terdapat dalam Akta Kilang Dan Jentera 1967 dan mana-mana Peraturan dibawahnya bagi menggalakkan tatakerja yang selamat di tapak pembinaan.


BIDANG TUGAS SITE SAFETY SUPERVISOR (SSS)

Di bawah Peraturan 25(1), Peraturan-Peraturan Kilang Dan Jentera (Kendalian Bangunan Dan Kerja-Kerja Binaan Kejuruteraan)(Keselamatan) 1986 [BOWEC],  kontraktor utama hendaklah melantik penyelia keselamatan tapak bina bagi menjalankan penyeliaan keselamatan keatas aktiviti pembinaan yang dijalankan  di tapak bina. Antara tugas penyelia keselamatan tapak bina adalah:

  1. memeriksa dan memperbaiki mana-mana keadaan tidak selamat di tapak bina;
  2. membetulkan mana-mana amalan tidak selamat;
  3. memeriksa kerja-kerja sub-kontraktor untuk memastikan bahawa Akta dan Peraturan-Peraturan yang dibuat di bawahnya dipatuhi; dan
  4. berhubung terus dengan penyelia keselamatan kontraktor berkenaan dengan keselamatan bekerja yang dijalankan oleh sub-kontraktor.


Di bawah Peraturan 25(2) Peraturan BOWEC telah menetapkan bahawa penyelia keselamatan tapak bina hendaklah seorang yang kompeten untuk melaksanakan tugas-tugas yang ditetapkan dalam subperaturan (3) dan (4), dan mempunyai kelayakan yang diluluskan oleh Ketua Pemeriksa dan berpengalaman sekurang-kurangnya selama dua tahun sebagai formen tapak bina.  Ketua Pemeriksa ialah Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

Sehubungan dengan itu, bagi menetapkan kompetensi penyelia keselamatan tapak bina, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah memutuskan bahawa penyelia keselamatan tapak bina hendaklah  seseorang yang telah berjaya menamatkan kursus penyelia keselamatan tapak bina yang dijalankan oleh pusat pengajar yang berdaftar dengan JKKP, dan telah lulus peperiksaan yang dijalankan oleh Institut Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) atau institusi yang diiktiraf oleh JKKP, dan berdaftar dengan JKKP.


CARA NAK JADI SITE SAFETY SUPERVISOR YANG KOMPETEN

Seseorang yang ingin mendaftar sebagai penyelia keselamatan tapak bina hendaklah:-

  1. Warganegara Malaysia yang mempunyai sekurang-kurangnya diploma dalam bidang kejuruteraan atau arkitek atau bidang berkaitan pembinaan, dan telah menghadiri kursus penyelia keselamatan tapak bina di pusat pengajar yang berdaftar dengan JKKP, dan telah lulus peperiksaan penyelia keselamatan tapak bina yang dikendalikan oleh NIOSH atau institusi yang diiktiraf oleh JKKP; atau
  2. Warganegara Malaysia yang mempunyai sekurang-kurangnya dua tahun pengalaman sebagai penyelia tapak bina atau formen tapak bina, dan telah menghadiri kursus penyelia keselamatan tapak bina di pusat pengajar yang berdaftar dengan JKKP, dan telah lulus peperiksaan penyelia keselamatan tapak bina yang dikendalikan oleh NIOSH atau institusi yang diiktiraf oleh JKKP; atau
  3. Warganegara Malaysia yang telah mempunyai sekurang-kurangnya sepuluh tahun pengalaman sebagai penyelia tapak bina atau formen tapak bina; dan telah lulus peperiksaan penyelia keselamatan tapak bina yang dikendalikan oleh NIOSH atau institusi yang diiktiraf oleh JKKP;


Untuk makluman, Jabatan telah menetapkan beberapa kelayakan tambahan bagi pendaftaran SSS. Kelayakan pendaftaran tambahan tersebut ialah:-

  1. Warganegara Malaysia yang telah lulus peperiksaan pegawai keselamatan dan kesihatan (SHO) di NIOSH tetapi belum boleh berdaftar sebagai SHO kerana kurang tiga (3) tahun pengalaman, dengan syarat tambahan iaitu - 
  2. Mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya dua belas (12) bulan dalam bidang pembinaan; atau 
  3. Menghadiri modul 6 (construction safety) bagi kursus SSS; atau 
  4. Menghadiri kursus penyelia tapak bina (site supervisor) yang dijalankan oleh CIDB. 
  5. Warganegara Malaysia yang mempunyai sekurang-kurangnya diploma keselamatan dan kesihatan pekerjaan atau yang setaraf dengannya dari mana-mana badan profesional atau institusi yang diluluskan oleh Jabatan, dengan syarat tambahan iaitu - 
  6. Mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya enam (6) bulan dalam bidang pembinaan; atau 
  7. Menghadiri modul 6 (construction safety) bagi kursus SSS. 


Walau bagaimanapun, kelayakan pendaftaran tambahan ini hanyalah bersifat sementara untuk tempoh masa yang akan ditetapkan, dan ia boleh ditarik balik mengikut ketetapan yang akan ditentukan oleh Ketua Pengarah.

Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan turut menetapkan bahawa seseorang itu tidak boleh memegang kad perakuan pendaftaran sebagai SHO dan SSS pada satu masa yang sama. Sungguhpun begitu, JKKP tiada apa-apa halangan untuk seseorang itu memiliki kompetensi yang lain pada masa yang sama.


DIMANA NAK AMBIL KURSUS SITE SAFETY SUPERVISOR?

Untuk pengetahuan anda, buat masa ini hanya Pusat Pengajar dan IPTS/IPTA yang berdaftar dengan JKKP saja yang diiktiraf untuk anda mengambil kursus SSS. Senarai pusat pengajar dan IPT yang berdaftar dengan JKKP ada disenaraikan di website rasmi www.dosh.gov.my 

Terpulanglah dengan anda nak ambil kursus singkat di NIOSH atau mengambil sepenuh masa di Institut Pengajian Tinggi Awam/Swasta. Bezanya cuma duit untuk bayar kursus, nak singkat perlu bayar lebih dan percuma percuma makan masa lama sedikit. 

Pilihan ditangan anda!

Post a Comment

0 Comments